Friday, 7 June 2013

Redha Allah Terletak Pada Redha Ibu Bapa

Bersua lagi...

Kali ni saya nak berkongsi cerita teladan yang sedikit sebanyak memberikan pengajaran pada diri sendiri dan anda juga. Maaflah post kali ni agak panjang. Bukan untuk mengaibkan atau nak kata "padan muka kau......", tapi kisah yang bakal saya ceritakan ni membuatkan saya lebih menundukkan hormat kepada kedua orang tua walaupun suatu hari nanti setiap anak gadis akan menjadi milik sepenuhnya sang suami. Di akhir kisah ini saya jadi amat bersimpati kepada si "mangsa". Tapi nak buat camana, nasi dah menjadi bubur...

Alkisahnya, seorang gadis baru saja selamat dinikahkan dengan pilihan hatinya (suami dia sekarang). Namun di sebalik pernikahan ini, terlalu banyak kisah sedih yang dirahsiakan. Kalian nak tahu apa? 

Jom baca doa untuk ibu bapa dulu...


Alhamdulillah.. Terima kasih kerana mendoakan ibu bapa kita hari ni. Baiklah, saya tak tahu nak bermula dari mana tapi ringkasnya hamba Allah ni, A (bukan nama sebenar) hanya seorang gadis biasa yang mempunyai naluri dan keinginan untuk berumah tangga. Usianya sudah melewati 20-an dan dia semakin risau dengan status bujangnya sedangkan kawan-kawannya yang lain sudahpun membina keluarga sendiri. Sepanjang masa dia akan mengeluh kepada ibunya dengan menzahirkan rasa bosan hidup keseorangan serta menunjukkan keinginan yang membuak-buak untuk berkahwin. Tambahan pula dia mempunyai seorang kenalan lelaki, B dan merancang untuk hidup bersama. Namun, perkenalan ini tidak dipersetujui oleh ibunya. 

Buat pengetahuan kalian, sebelum A berhubungan dengan B dia telah mempunyai ramai kenalan lelaki namun semua hubungan tersebut tidak kekal lama. Saya boleh mengandaikan A seorang gadis yang terlalu mudah memakan pujuk rayu lelaki, lebih-lebih lagi didorong dengan keinginannya untuk segera berumah tangga. A terlalu "kacang" diperalatkan dengan janji manis lelaki yang mengajaknya untuk berkahwin, sedangkan lelaki-lelaki tersebut mempunyai agenda lain terhadap A. Saya hanya mendapat tahu A dipergunakan untuk dikikis wangnya, selebihnya diluar pengetahuan saya. Jadi disini saya mendapati ibu A masih tidak membenarkan A untuk berkahwin atas alasan sifat A yang terburu-buru dan belum matang dalam apa-apa tindakannya. Selain itu juga, B di mata ibu A adalah sama seperti kenalan lelaki A yang terdahulu. Sudahlah tidak mempunyai pendapatan tetap, kurang hormat pada orang tua pula.



Di ringkaskan cerita, pada suatu hari A tiba-tiba mengemas kain bajunya. Katanya untuk mencari kerja di bandar. B akan datang menjemput pada malam hari. Itu saja alasannya. Sedangkan ibu A tidak merelakan A keluar dari rumah kerana ibu A berpendapat terlalu banyak pekerjaan di sekitar pekan berhampiran dan tidak perlu duduk menyewa di luar. Tambahan lagi pekerjaan masih belum dijanjikan kepadanya. Setiap pertanyaan yang diajukan oleh ibu dan bapa A dibalas hampa. A nekad untuk meninggalkan rumah.

Hampir seminggu setelah A meninggalkan rumah namun tiada khabar berita kedengaran daripadanya. Panggilan tidak diterima malah apabila dihubungi tidak pernah dijawab. Ibu  bapa A berasa semakin risau sehinggakan bapa A ingin mengambil inisiatif untuk mencari A di bandar. Tengok.. Betapa kasihnya ibu dan bapa terhadap A. Namun, ibu A menghalang niat bapa A kerana beliau yakin A boleh membawa diri (sekadar sedapkan hati yang kebimbangan).



Setelah beberapa minggu (saya tak pasti), datang seorang wanita tua bersama lelaki muda ke rumah ibu bapa A. Mereka memperkenalkan diri sebagai ibu dan adik kepada B. Ibu bapa A terkejut bukan kepalang apabila mereka diberitahu bahawa A dan B telah menikah secara senyap di Selatan Thailand. Rupanya sepanjang beberapa hari A mendiamkan diri tanpa khabar berita, A telah ke sana untuk urusan pernikahan senyapnya. Hancur luluh hati ibu yang mengandung dan melahirkan A. Bapa A kelihatan begitu kecewa. Tidak menyangka anak yang disayangi sanggup mengambil keputusan drastik dengan membelakangkan kedua orang tuanya disebabkan keinginan yang begitu tinggi untuk BERKAHWIN! Saya nak tekankan di sini bahawa A memang ANAK DERHAKA!

Apakah dosa bapa A sehingga dia tidak layak untuk menjadi wali bagi perkahwinan anak perempuannya? Mengapa kerana seorang lelaki yang baru dikenali beberapa bulan A sudah tegar menderhakai ibu bapanya sekaligus menyebabkan mereka mengalir air mata kekecewaan? 

Ibu bapa A menjadi hilang arah dan tidak tahu punca untuk melakukan tindakan selanjutnya. Yang penting maruah diri dan keluarga harus dipelihara. Alhamdulillah... Berkat sokongan keluarga, ibu bapa A menjumpai petunjuk, iaitu KAHWINKAN SEMULA A dengan tangggungjawab wali digalas oleh orang yang selayaknya.

A dan B akhirnya dinikahkan dengan sebenar-benarnya pernikahan sementara rahsia keluarga terkunci rapi. Pernikahan tersebut berwalikan bapa A, bersaksikan imam dan seluruh keluarga. Ibu bapa A mengucapkan syukur kerana bebanan ini sudah mulai ringan. Bukan bebanan kerana membesarkan A tetapi bebanan kerana masalah yang dicipta A! 



Benarlah kata pepatah "ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari". Kebahagiaan yang diimpikan oleh A dalam perkahwinan yang diidam-idamkannya tidak bertahan lama. Malahan sejurus beberapa hari menikmati kehidupan sebagai suami isteri, B dipecat daripada kerjanya kerana mengambil "cuti berkahwin" yang agak lama. Selepas berkahwin pasangan ini tinggal dan menetap bersama ibu B. Rupanya kehadiran A dalam rumah tersebut tidak digemari oleh ibu B. Ibu B sering memerli dan memperlekehkan A serta menganggap A sebagai bebanan kerana segala keperluan dalam rumah tersebut di tanggung ibu B memandangkan B seorang penganggur. Selain dianggap menumpang di rumah ibu mertua sendiri, segala duit simpanan A habis dibelanjakan oleh suaminya, B. Kerana sayang A turutkan sahaja kemahuan suami termasuk menggadaikan cincin perkahwinannya.

A masih belum menerima nafkah zahir walaupun setelah beberapa bulan berkahwin. Setiap keperitannya sebagai isteri dan menantu dirujuk pada ibunya. Ibu A tidak mampu melakukan apa-apa memandangkan ini merupakan pilihan A sendiri. A memilih untuk mengikut jalan pintasan yang mudah untuk berkahwin sementara redha dan restu ibu bapanya dipinggirkan. Sedangkan sebagai seorang anak, redha Allah adalah terletak pada redha ibu bapa. Bagaimana mungkin kebahagiaan di dunia malahan di akhirat kelak (inshaAllah) mampu menjadi milik seorang anak sekiranya hidup membelakangi insan paling mulia, yakni ibu bapa kita? Renung-renungkan..



Panjang sungguh cerita saya. Tapi tak habis lagi ni hihi.. Setiap anak tak mungkin mampu mengecap kebahagiaan yang sempurna tanpa berkat dan doa ibu bapa masing-masing. Ibu dan bapa kita mungkin sesetengahnya berfikiran tidak meluas, namun mereka lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri setiap anak. Jangan terlalu mengikut kehendak hati tanpa memikirkan akibat daripada tindakan yang kita lakukan. Gunakan minda yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT bagi menginterpretasikan kesan baik mahupun buruk dalam setiap langkah menuju matlamat. Ingat! Ibu bapa akan sentiasa berada disisi selagi mereka masih punya hayat di dunia ini.


Eni sayang Mak dan Ayah!

No comments:

Post a Comment